Tuesday, July 24, 2012

Pulau Sibu: Misi Pencarian Bermula

Pencarian pun bermula. Umi Danial mula menggoogle pelbagai lokasi penginapan di Pulau Sibu, Mersing, Johor.

Teringat soalan yang diutarakan oleh Ayah Danial tempoh hari. "Bagaimana awak tahu mengenai tempat ini sayang?"

Tersenyum-senyum sendiri Umi Danial mengingati situasi itu. Seronok apabila dapat mencadangkan tempat baru untuk Tim BEST terokai. "Ada kawan saya yang menceritakan mengenai tempat ini. Dia ada upload gambar di FB dan apa lagi, saya pun korek dengan lebih lanjut mengenai tempat itu. Apabila awak bertanya mengenai lokasi pulau yang baru, saya terus teringatkan Pulau Sibu."



Hasil daripada carian Google, keluar banyak pilihan penginapan di Pulau Sibu. Senarai itu dibaca perlahan satu per satu. "Sea Gypsy Village Resort and Dive Base, Twin Beach Resort, Sibu Island Resort...inilah resort yang dikongsikan oleh Lim tempoh hari. Resort yang cantik dan selesa, sama seperti harganya juga."

Satu per satu laman web dibuka bagi mencari penginapan yang sesuai. "Coconut Village Resort. Nampak okay, jeti solid. Tidak perlu terjun dari bot seperti di Pulau Redang. Penginapan nampak bersih dan selesa."

Coconut Village Resort. http://www.sibucoconutvillage.com/index.html

Bertambah banyak tetingkap windows dibuka. "Sea Gypsy Village Resort. Stail kampung juga. Harga okay, siap ada diskaun lagi sekiranya pergi semasa low season. Tapi...nampaknya semua penginapan menggunakan kipas sahaja. Oh, tidak sesuai untuk Danial yang sensitif kulit apabila berpeluh banyak..."

http://www.journeymalaysia.com/islandsibuseagypsies.htm


Bertambah lagi tetingkap windows tersusun di bawah skrin. "Pulau Sibu Resort. Inilah resort yang dipilih oleh keluarga Lim tempoh hari. Tempat cantik. Penginapan nampak selesa. Ada penghawa dingin. Ada swimming pool lagi! Harganya....hampir RM600 seorang untuk pakej 3 hari 2 malam. Wow!"

http://sibuislandresort.com.my/

"Moving on. Next! Ada banyak lagi pilihan yang ada. Usah risau!" Umi Danial memujuk diri sendiri. Matanya melilau menjamu semua gambar indah panorama di Pulau Sibu. Tidak sabar mahu ke sana!

Masya-Allah! Cantiknya. Tidak sabar mahu ke sana!

Seronoknya apabila keluar dari bilik, terus nampak pemandangan ini!

 Misi diteruskan lagi dengan mencari laman web rasmi untuk setiap resort yang ada di Pulau Sibu. "Seterusnya, Twin Beach Resort. Wow. Ada dua pantai. Dapat pilih sama ada mahu penginapan menghadap Pulau Tinggi atau menghadap Tanjung Leman. Penginapan ada aircon. Bagus. Penginapan nampak selesa, kemas dan bersih."

 http://www.twinbeach.com/

Kemudian, barulah Umi Danial terperasan sesuatu. "Semua pakej resort ini tidak termasuk aktiviti snokeling! Pakej hanya termasuk makan minum - 2 sarapan, 2 makan tengah hari, 2 makan malam, penginapan untuk 2 orang di dalam satu bilik chalet, dan bot pergi balik jeti."

Sebelum membuat pilihan, kriteria penting perlu disenaraikan. Umi Danial mencongak di dalam kepala. "Apa yang penting bagi memilih penginapan yang sesuai? Harga dalam RM 300-350 setiap seorang. Penginapan mesti ada air con dan bilik air peribadi. Tidak seperti di Sabah dulu (Itu nanti cerita lain). Ada pakej termasuk makanan, supaya tidak perlu cari makanan lagi. Kediaman di tepi pantai, supaya dapat terus terjun laut."

Umi Danial terdiam sebentar, "Apa lagi ya? Oh ya, mesti ada kemudahan untuk snorkeling, dan pelbagai aktiviti..."

Resort mana agaknya menjadi pilihan dan memenuhi semua kriteria itu?











Monday, July 23, 2012

Kembara Tim BEST bermula lagi!


"Sayang, apabila saya boleh cuti nanti, kita pergi bercuti di pulau, nak?"

Tiba-tiba sahaja persoalan itu diajukan. Walaupun ia tidak ada kaitan dengan topik yang sedang dibincangkan , Umi Danial tidak terkejut mendengar soalan Ayah Danial itu. Bahkan senyuman lebar yang panjang dari telinga ke telinga terukir di wajahnya.

Laju sahaja dia menjawab. "Boleh sahaja sayang! Kita mahu pergi ke pulau mana?"

Terdiam sebentar Ayah Danial mendengar soalan itu. Seketika kemudian, dia menjawab, "Tempoh hari, ada kawan di ofis lama ajak pergi Pulau Redang." Selepas menarik nafas, Ayah Danial menyambung kata-kata, "Namun, kita sudah pergi ke Pulau Redang...satu, dua, tiga lagi! Saya tidak mahulah pergi ke pulau itu lagi."



Peta Pulau Redang. *Terima kasih Encik Google!


"Okay. Jadi kita mahu ke pulau mana kali ini?"

Soalan Umi Danial tidak berjawab. Senyap sunyi sahaja pada ketika itu. Pasti keduanya sedang ligat berfikir pulau manakah yang akan diserbu oleh tim BEST pada kali ini.

Pada ketika itu, Umi Danial teringat salah satu perkongsian daripada Lim, kawan seangkatan program GKII mengenai percutian keluarganya. "Itu dia!"

Tangan Ayah Danial dipegang erat. Senyuman yang paling manis dilemparkan kepadanya. "Sayang, saya tahu kita boleh ke pulau mana selepas ini."

"Ke mana?"

Pandangannya masih tidak berganjak. Sesi berbual berdua begini sememangnya begitu berharga. Sangat jarang mendapat peluang ini kerana ada saja si cilik bijaksana yang selalu menyampuk.

"Kita ke Pulau Sibu. Mahu?"

Terbeliak mata Ayah Danial seketika. Mulutnya juga sedikit melopong. "Sibu, Sarawak?"

Sudah dijangka jawapan itu yang akan terkeluar dari mulut Ayah Danial. Memang sah, tidak ramai yang tahu mengenai tempat ini. "Bukan sayang. Pulau Sibu di Mersing!"


Pulau Sibu, Mersing *Terima kasih Encik Google!