Saturday, May 23, 2015

8 Tip Mengembara Menaiki Kapal Terbang dengan Si Cilik.


Apabila sudah berkeluarga pasti kehidupan lebih ceria dengan kehadiran si cilik comel yang bijaksana.
Sudah tentu, apabila kita pergi mengembara, kita mahu membawa dia bersama.
Namun, apakah persediaan yang perlu dilakukan?
Saya turut mendapat soalan daripada seorang teman mengenai perihal membawa anak kecil menaiki penerbangan buat kali pertama.
Soalan: Saya ingin sekali bertanya mengenai pengalaman travel bersama bayi, berumur bawah setahun. Ini kali pertama menaiki penerbangan bersamanya. Apakah persediaan yang saya perlu lakukan? Apakah perkara-perkara yang perlu saya jangkakan?

Jawapan:

Tip 1: Sediakan beg 'hand luggage' khas untuk barangan keperluan si cilik.
Beg ini akan dibawa masuk ke dalam pesawat. Jangan masukkan ke dalam kargo. Isikan beg ini dengan barangan keperluan khas anak kita. Isikan dengan baju sepersalinan, susu, ubat-ubatan, makanan dan permainan. (Satu nota khas akan diwujudkan untuk perihal ini.

Tip 2. Stroller atau BabyCarrier?
Sekiranya membawa stroller, kita perlu daftar masuk (check in) stroller sama ada semasa kita daftar masuk penerbangan. Sekiranya ia perlu didaftarkan di kaunter khas bagasi, ia akan dimaklumkan oleh pegawai penerbangan semasa daftar masuk. Pastikan kita maklumkan yang ada membawa stroller bayi. Kebiasaann untuk perkhidmatan MAS, mereka membenarkan kita membawa stroller ini sehingga ke pintu pesawat. Sampai di sana, sebelum melangkah masuk, kita perlu lipat siap-siap dan letakkan di tepi pintu pesawat itu. Kru mereka akan menguruskannya selepas itu. Apabila tiba di destinasi, stroller kita akan diletakkan di tempat yang sama. iaitu di tepi pintu keluar pesawat.
*Lain syarikat penerbangan mungkin mempunyai cara yang berbeza menguruskan perkara ini. Tanyalah staf mereka.
Sekiranya kita tidak mahu membawa stroller, gunakan baby carrier. Tidaklah lenguh memikul si cilik yang semakin membesar dengan comel. Sekarang kita sudah ada pilihan untuk membeli sendiri baby carrier itu atau menyewanya untuk tempoh perjalanan kita. Lebih jimat! Apabila menggunakan baby carrier, kita tidak perlu tolak apa-apa. Hanya angkat si cilik dan beg hand luggage kita.

Tip 3: Susu Si Comel Sepanjang Perjalanan
Sekiranya masih menyusu badan, bagus dan tahniah! Tidak perlu memikirkan perihal membawa air panas dan serbuk tepungnya.
Namun, sekiranya si cilik tidak menyusu badan, perlu bawa satu thermos kecil berisi air panas untuk membancuh susu. Kebiasaanya pihak imigren akan membenarkannya apabila dinyatakan thermos itu untuk si kecil. Namun, ini atas budi bicara mereka. Bersedia untuk terpaksa buang air panas itu. Boleh isi semula di atas penerbangan, dengan meminta pada kru penerbangan.

Tip 4: Makanan Si Comel Sepanjang Perjalanan
Sekiranya si comel kita suda berusia 6 bulan ke atas, pasti dia sudah mula mengambil makanan lain selain susu. Kita lebih mengenali anak kita dan apa makanan yang sesuai dengannya. Bawalah dua bekas makanan yang kita sediakan (seperti bubur atau puri buah-buahan dan sayur-sayuran) ke atas pesawat. Pada malam sebelum penerbangan, pastikan makanan itu dimasukkan ke dalam bahagian sejuk beku (freezer). Apabila mahu bertolak ke lapangan terbang, barulah keluarkan. Ia memastikan makanan itu tahan lebih lama. Apabila si cilik sudah bangun, mungkin ia sudah cair dan sedia untuk dimakan. Sekiranya masih separa beku, kita boleh meminta bantuan kru penerbangan untuk merendamkan bekas itu dalam air panas buat seketika. Pengalaman saya: Kru MAS memang sentiasa bersedia membantu!
Sekiranya anak kita sudah pandai makan sendiri, sediakan kudapan untuknya, seperti biskut, bijirin, roti, mengikut menu kegemaran si cilik.
*Sekiranya tidak berkesempatan menyediakan makanan untuk si cilik, boleh beli bubur dan puri yang sudah siap.

Tip 5: Tempat Tidur Khas Dalam Pesawat
Sebaiknya daftar masuk awal dan request 'bassinet' untuk si cilik. Setiap penerbangan sepatutnya ada. Bassinet ini adalah 'katil' khas yang dipasang untuk bayi dan biasanya hanya ada dalam 4-6 unit sahaja dalam seluruh pesawat. Sekiranya daftar masuk lambat, ada kemungkinan tidak dapat. Namun, begitu, sekiranya masih tidak dapat juga semasa daftar masuk, boleh minta budi bicara kru penerbangan untuk membenarkan puan dan suami bertukar tempat dengan penumpang yang duduk di kawasan bassinet itu dipasang. Bassinet ini hanya dipasang di tempat tertentu sahaja dalam penerbangan. Ini juga perlu mendapat persetujuan penumpang yang duduk di tempat itu. Bagi saya, ada bassinet ini, si cilik dapat tidur dengan lebih selesa di 'katil' sendiri dan tidak berpangku sahaja sepanjang penerbangan. Latih dia juga untuk berdikari tidur sendiri. Beri peluang kepada ibu dan ayah untuk berehat. haha!

Tip 6: Semasa Perlepasan
Apabila pesawat mahu berlepas, tekanan udara akan berubah. Kebanyakan bayi dan kanak-kanak akan menangis dan meraung ketika ini kerana dalam telinga mereka akan seperti 'meletup-letup'. Seperti kita naik Genting atau Cameron Highland yang berada di altitude lebih tinggi daripada biasa. Perbezaan tekanan itu akan membuatkan bayi dan kanak-kanak rasa tidak selesa. Apa yang kita boleh buat untuk mengurangkan ketidakselesaan itu, adalah dengan menyusu si cilik atau berikan dia minum air semasa penerbangan berlepas. Apabila dia menelan susu, ia membantu mengimbangkan tekanan dalam telinga dia.

Tip 7: Masa Penerbangan – Malam / Pagi Buta
Masa penerbangan mempengaruhi tahap keaktifan si comel kita. Sekiranya penerbangan kita pada waktu malam, pastikan si cilik sudah kenyang siap-siap sebelum masuk ke dalam pesawat. Kebiasaanya, apabila penerbangan kita pada waktu malam/pagi buta, lampu dalam penerbangan akan ditutup. Bayi yang sedang berjaga akan terbuai2 untuk tidur, apatah lagi dengan pergerakan penerbangan yang sedikit terbuai-buai. Sekiranya risau si cilik tidak mahu tidur, elakkan membenarkan dia tidur siang pada hari penerbangan. Pada malam itu juga, tangguhkan waktu tidurnya dan usahakan buat dia sangat penat seperti berlari-lari, bermain dan sebagainya. Kemudian berdoa mudahan dia dapat tidur nyenyak sepanjang penerbangan.
*Keadaan ini akan berbeza dengan bayi yang berbeza. Sebagai ibu bapa, kita lebih mengenali anak kita dan apa yang dapat membuatkan dia tenang. Kadang-kadang keadaan di tempat baru akan membuatnya risau dan menjadi gelisah. Kita perlu usaha menenangkannya.

Tip 8: Masa Penerbangan – Siang
Seperti si cilik saya, apabila penerbangan pada waktu siang, dia super aktif dan jarang mahu tidur siang. Jadi perlu sediakan pelbagai aktiviti untuk dilakukan. Boleh bawa 1-2 permainan atau buku kegemaran. Ada bayi yang suka melihat keadaan sekeliling yang baru buatnya. Ada yang suka diagah-agah sehingga penat. Sebagai ibu bapa, kita lebih mengenali anak kita dan aktiviti apa yang boleh membuatkannya leka. Sekurangnya leka di sepanjang penerbangan.
Pertama kali mengembara bersama si cilik memang menjadi sesuatu yang mengujakan, dan merisaukan. Insya-Allah selepas perjalanan pertama ini, kita akan lebih mengenali perangai si cilik apabila mengembara, sama ada senang dibawa berjalan jauh ataupun sebaliknya.
Selamat Mengembara!
‪#‎kembarakeluarga‬
#kembaratimbest



No comments:

Post a Comment