Tuesday, September 15, 2015

Al-Kisah Kembara: Si Super Laser

Dalam sibuk menguruskan dua si kecil bijaksana, seorang sibuk nak main mesin-pintar-gelintar-jari-jemari-sahaja-pun-dah-boleh-buat senang hati, dan seorang lagi sibuk bergayut di langsir sampai jatuh besi gantung langsir... (sabarrr....sabarrrr), tiba-tiba teringat satu kejadian yang berlaku di dalam kapal terbang semasa jalan-jalan bercuti awal tahun ini.

Kebiasaannya apabila bercuti pergi jalan-jalan, saya akan pergi beramai-ramai dengan si kecik bijaksana (sudah tentu!), dengan adik-beradik, ipar-duai, dan anak-anak kecil mereka.

Kembara Tim Best lah dikatakan. Mesti ramai orang dalam Tim yang Best kan? Muahahha.

Seronok berjalan ramai-ramai! Namun, apabila bercuti dengan anak kecil, mesti ada konsep 'buddy'. Ingat masuk kem sahaja ke ada konsep buddy?

Setiap dewasa mesti ada buddy dengan seorang kanak-kanak. Jadi ngam-ngam sahajalah 5 geng buddies.

Nak dipendekkan cerita, buddy Rayyan, si kecik bijaksana super aktif adalah dengan salah seorang adik yang memang suka melayan karenah Rayyan. "Nasib baik comel!" itu alasan dia untuk sabar jelahhh melayan ke-super-aktifan si kecik itu.

Semasa check-in sudah tentu kita akan minta supaya satu gerombolan tim yang super best ini berada dalam satu barisan dalam kapal terbang.

Sebenarnya kami sudah check-in secara online, jadi sudah pilih tempat duduk siap2 satu barisan. Senang cerita. Namun, ada juga yang terpisah kerana semasa beli tiket, keluarga itu beli berasingan, jadi nombor booking sudah lain. Bila check-in, sistem tu ambil berdasarkan nombor booking kumpulan.

Fast-forward sedikit... si peramugari/pramugara yang menjaga ruangan barisan kami, memang super peramahlah pula.

Ahli keluarga pun jenis tidak boleh duduk diam (bukan si kecil sahaja ya) hahaha. Patutlah si kecil tidak boleh duduk diam, dah ada dalam gen. Peramah pun ya juga. Jadi berbual-bual lah ahli keluarga dengan si peramugari/pramugara itu, dengan penuh teruja memperkenalkan semua ahli gerombolan. Kebetulan mereka berbual2 di tepi barisan tempat duduk kami.

Rayyan sudah tentu pada ketika itu sedang berada di atas riba auntienya.

Terbeliak si pramugari/pramugara apabila diberitahu Rayyan duduk atas auntienya dan bukan uminya.

Laju sahaja jarinya dituding kepada saya. "Eh? Ini anak you ke? Apasal dia tidak duduk dengan you? Kenapa mak tidak mahu jaga anak sendiri?"

Berderau jantung mendengar kata-kata itu.
Amboi sedapnya mulut!
Tidak ada insurans langsung!

Saya tarik nafas panjang.
Dia tidak tahu tentang sistem buddy kami.
Dia tidak tahu Rayyan seronok duduk dengan auntie, setiap hari asyik dengan umi.
Dia tidak tahu auntie sudah lama tidak jumpa Rayyan, mahu bermanja, main-main melayan keletah si kecik.
Dia tidak tahu umi sudah mahu take 5 sebentar dalam penerbangan.

Senyum sahaja.
Tidak sempat menjawap.
Tiba-tiba ada pengumuman meminta semua penumpang memakai tali pinggang. Si pramugari/pramugara itu pun berlalu meneruskan tugas.

Ingatkan sudah habis mendengar kata-kata mulut laser itu.

Masa untuk makan.
Datang si pramugara/pramugari itu.
Dah itu kawasan jagaannya.

Makanan dihulurkan kepada auntie Rayyan.
"I beri U dulu ya. Sebab you jaga anak dia. Yalah, mak tidak mahu jaga anak sendiri."
Langsung dituding lagi jari ke arah sini.

Apakah!?

Adik pun memandang ke arah sini dengan ekspresi wajah, "apahal dia tu?"

Mulut Memang Lagi Tajam Menghiris Hati Daripada Pisau.

Sabar sahajalah. Tidak mahu panjangkan cerita.
Mungkin dia stres bekerja. Mungkin dia rindukan anak sendiri.
Doakan yang baik-baik sahaja untuk si pramugari/pramugara itu.

Sekurang dapat bersama kedua si kecil saya setiap hari!

Pada masa yang sama, berdoa agar tidak lagi berjumpa dengan si mulut laser itu!


 *Kadang-kadang anak kita lagi manja dengan auntie-auntie dia.
Gambar auntie dan anak-anak buah sibuk melihat binatang besar depan mata!





Wednesday, September 9, 2015

Tip Kembara Anak Kecil: 'Mencuci' Dalam Kapal Terbang

Pergi mengembara atau melancong ke negara asing memang seronok.

Bukan setiap hari kita boleh naik kapal terbang! Apatah lagi dengan keluarga dan anak-anak sendiri.

Namun, banyak juga cakap-cakap yang tidak enak didengari sana sini.

“Lecehlah bawak anak naik kapal terbang.”
“Bila bawa anak berjalan, susah nak enjoy.”
“Anak saya super aktif, tidak reti duduk diam.”
“Susahnya nak cebuk apabila anak berak dalam kapal terbang!”
“Anak saya suka menangis je. SIkit-sikit nangis. Sikit2 nangis. Bosanlah!”

Senarai itu boleh jadi lebih panjang.

Bagi saya senang sahaja. Dah nama pun anak sendiri, bukannya anak orang lain. Sudah semestinya kita lebih kenal perangainya. Apa yang dia suka dan apa yang dia tidak suka. Apakah rutinnya, jadualnya dan semua yang berkaitan.

Dalam sharing kali ini, saya mahu fokuskan pada urusan ‘back to nature’, atau kembali ke ‘alam semula jadi’... bahasa lagi senang faham... urusan buang air kecil dan besar si manja kita. Tidak faham juga? Urusan berak dan kencing dia...bahasa direct terus!


Percaya atau tidak, proses buangan anak kita ini ada jadual sebenarnya. Lagilah bayi - makan, tidur, berak. Makan, tidur, kencing, berak. Bagi anak lebih besar 1-3 tahun (sekiranya masih memakai lampin pakai buang), biasanya dia akan berak sekurangnya sekali sehari. Sekiranya tidak, tunggu hari esok, sekali dalam dua hari. 

Anak 3 tahun ke atas? Sepatutnya sudah tidak pakai lampin. Muahahha! Namun, sekiranya masih pakai juga, cara cucinya lain sedikit kerana si manja sudah boleh duduk sendiri di atas tandas duduk.

Soalan: Bagaimana mahu cuci berak bayi di dalam kapal terbang?

Kebiasaannya kapal terbang ada lavatory (tandas) di tiga lokasi. Bahagian depan (khusus untuk penumpang kelas bisnes dan ditutup dengan langsir bercorak mewah. Bahagian tengah, biasanya ada dua di sebelah kiri dan dua di sebelah kanan Bahagian belakang pesawat, juga dua di sebelah kiri dan dua di sebelah kanan. Namun, kedudukan lavatory ini mungkin berbeza mengikut model kapal terbang.
  
Cari tandas yang ada simbol ini: simbol ibu menguruskan bayi. Biasanya lavatory ini lebih besar ruangnya kerana ada bahagian dinding yang boleh diturunkan untuk kemudahan menukar lampin anak. 




Ingat, dalam tandas kapal terbang tidak ada kemudahan pancutan air seperti tandas biasa di rumah kita. Dalam kapal terbang MAS, ada disediakan cawan kecil di bahagian atas sinki. Kita boleh gunakan itu untuk mencebok. Sekiranya naik pesawat syarikat lain, mungkin kita perlu bawa sendiri bekas untuk mencebok. Pilihan paling baik, botol mineral plastik.

Caranya:

*Masuk lavatory dahulu dan kunci pintu. Lampu akan terbuka secara automatik

1. Turunkan dinding yang akan digunakan untuk meletakkan anak kita.

2. Baringkan bayi kita di atas tempat itu. Pastikan lampin, sepersalinan pakaian, sabun cuci dan tisu lembab (wet tissue) sudah dibawa bersama ke tandas. 

3. Buka baju, seluar bayi dan letakkan di bawah kepalanya, jadi seperti bantal. Sekiranya sudah telus dengan najis, janganlah buat begitu! Letak sahaja di tepi sinki. Senang mahu basuh selepas selesai urusan menukar lampin bayi.

4. Siap-siap keluarkan beberapa keeping wet tissue untuk mengelap bahagian kotor anak kita itu.

5. Buka lampin yang sudah penuh dengan hasil buangan. Ambil tisu pengelap tangan yang ada dalam tandas itu dan alaskan di bawah buntut anak kita, dan di atas hasil buangan dia. Ambil lagi lebih banyak tisu pengelap tangan sekiranya perlu.

6. Gunakan tisu lembab untuk mengesat saki baki hasil buangan anak kita yang masih melekat di buntutnya. Cuci sampai bersih.

7. Isi air dari singki ke dalam cawan kertas yang disediakan. Siapkan sabun untuk cuci buntut di sinki.

8. Cuci anak kita sebersihnya. Sekiranya dia sudah berpeluh-peluh, boleh tuang air ke badannya dan usap perlahan lahan.

*Sepanjang masa ini, pastikan air itu hanya berada di dalam sinki sahaja dan bukan habis basah lencun satu lavatory. Lantai perlu dipastikan sentiasa kering dan bersih. 

9. Segera balutkan anak kita dengan tuala atau kain yang dibawa. Baringkan di atas dinding yang diratakan.

10. Segera memakaikan lampin kepada bayi kita. Nanti ada ‘accident’ ... panjang pula cerita, perlu cuci semula.

11. Kemudian, barulah lap si manja dengan lebih rapi. Pakaikan pakaian dan sapukan losyen bagai seperti biasa.

12. Kemudian, basuh pakaian yang sudah terkena najis. Gunakan sabun basuh tangan yang ada dalam tandas. Cuci dan bersihkan bahagian najis itu sahaja. Usah dibasahkan kesemua pakaian. Nanti busuk pula pakaian, dibiarkan basah dalam plastik.

13. Sebelum kita keluar daripada lavatory itu, pastikan semua keadaan bersih sama seperti kita masuk tadi. Lampin dibuang di tempat sampah. Sekiranya lampin penuh dengan hasilan ‘super bacin’, boleh minta plastik daripada pramugara/pramugari untuk masukkan dulu lampin itu di dalam plastik, baru masukkan ke dalam tong sampah. Ini bagi mengelakkan bau semerbak terkepam dalam tandas. Pengsan! Terutama penerbangan kita berbelas-belas jam. Kesian kepada penumpang lain. Bahkan diri sendiri sekiranya kita sering ke tandas!

14. Lap sinki yang basah dengan tisu yang ada. Lap lantai juga sekiranya banjir dibuatnya (Walaupun tidak sengaja terbasah lantai).

15. Siap! Keluarlah dari lavatory dan beri peluang kepada penumpang lain. Pasti sudah ada barisan menunggu di luar! 

Selamat Mengembara Dengan Si Manja!