Wednesday, September 9, 2015

Tip Kembara Anak Kecil: 'Mencuci' Dalam Kapal Terbang

Pergi mengembara atau melancong ke negara asing memang seronok.

Bukan setiap hari kita boleh naik kapal terbang! Apatah lagi dengan keluarga dan anak-anak sendiri.

Namun, banyak juga cakap-cakap yang tidak enak didengari sana sini.

“Lecehlah bawak anak naik kapal terbang.”
“Bila bawa anak berjalan, susah nak enjoy.”
“Anak saya super aktif, tidak reti duduk diam.”
“Susahnya nak cebuk apabila anak berak dalam kapal terbang!”
“Anak saya suka menangis je. SIkit-sikit nangis. Sikit2 nangis. Bosanlah!”

Senarai itu boleh jadi lebih panjang.

Bagi saya senang sahaja. Dah nama pun anak sendiri, bukannya anak orang lain. Sudah semestinya kita lebih kenal perangainya. Apa yang dia suka dan apa yang dia tidak suka. Apakah rutinnya, jadualnya dan semua yang berkaitan.

Dalam sharing kali ini, saya mahu fokuskan pada urusan ‘back to nature’, atau kembali ke ‘alam semula jadi’... bahasa lagi senang faham... urusan buang air kecil dan besar si manja kita. Tidak faham juga? Urusan berak dan kencing dia...bahasa direct terus!


Percaya atau tidak, proses buangan anak kita ini ada jadual sebenarnya. Lagilah bayi - makan, tidur, berak. Makan, tidur, kencing, berak. Bagi anak lebih besar 1-3 tahun (sekiranya masih memakai lampin pakai buang), biasanya dia akan berak sekurangnya sekali sehari. Sekiranya tidak, tunggu hari esok, sekali dalam dua hari. 

Anak 3 tahun ke atas? Sepatutnya sudah tidak pakai lampin. Muahahha! Namun, sekiranya masih pakai juga, cara cucinya lain sedikit kerana si manja sudah boleh duduk sendiri di atas tandas duduk.

Soalan: Bagaimana mahu cuci berak bayi di dalam kapal terbang?

Kebiasaannya kapal terbang ada lavatory (tandas) di tiga lokasi. Bahagian depan (khusus untuk penumpang kelas bisnes dan ditutup dengan langsir bercorak mewah. Bahagian tengah, biasanya ada dua di sebelah kiri dan dua di sebelah kanan Bahagian belakang pesawat, juga dua di sebelah kiri dan dua di sebelah kanan. Namun, kedudukan lavatory ini mungkin berbeza mengikut model kapal terbang.
  
Cari tandas yang ada simbol ini: simbol ibu menguruskan bayi. Biasanya lavatory ini lebih besar ruangnya kerana ada bahagian dinding yang boleh diturunkan untuk kemudahan menukar lampin anak. 




Ingat, dalam tandas kapal terbang tidak ada kemudahan pancutan air seperti tandas biasa di rumah kita. Dalam kapal terbang MAS, ada disediakan cawan kecil di bahagian atas sinki. Kita boleh gunakan itu untuk mencebok. Sekiranya naik pesawat syarikat lain, mungkin kita perlu bawa sendiri bekas untuk mencebok. Pilihan paling baik, botol mineral plastik.

Caranya:

*Masuk lavatory dahulu dan kunci pintu. Lampu akan terbuka secara automatik

1. Turunkan dinding yang akan digunakan untuk meletakkan anak kita.

2. Baringkan bayi kita di atas tempat itu. Pastikan lampin, sepersalinan pakaian, sabun cuci dan tisu lembab (wet tissue) sudah dibawa bersama ke tandas. 

3. Buka baju, seluar bayi dan letakkan di bawah kepalanya, jadi seperti bantal. Sekiranya sudah telus dengan najis, janganlah buat begitu! Letak sahaja di tepi sinki. Senang mahu basuh selepas selesai urusan menukar lampin bayi.

4. Siap-siap keluarkan beberapa keeping wet tissue untuk mengelap bahagian kotor anak kita itu.

5. Buka lampin yang sudah penuh dengan hasil buangan. Ambil tisu pengelap tangan yang ada dalam tandas itu dan alaskan di bawah buntut anak kita, dan di atas hasil buangan dia. Ambil lagi lebih banyak tisu pengelap tangan sekiranya perlu.

6. Gunakan tisu lembab untuk mengesat saki baki hasil buangan anak kita yang masih melekat di buntutnya. Cuci sampai bersih.

7. Isi air dari singki ke dalam cawan kertas yang disediakan. Siapkan sabun untuk cuci buntut di sinki.

8. Cuci anak kita sebersihnya. Sekiranya dia sudah berpeluh-peluh, boleh tuang air ke badannya dan usap perlahan lahan.

*Sepanjang masa ini, pastikan air itu hanya berada di dalam sinki sahaja dan bukan habis basah lencun satu lavatory. Lantai perlu dipastikan sentiasa kering dan bersih. 

9. Segera balutkan anak kita dengan tuala atau kain yang dibawa. Baringkan di atas dinding yang diratakan.

10. Segera memakaikan lampin kepada bayi kita. Nanti ada ‘accident’ ... panjang pula cerita, perlu cuci semula.

11. Kemudian, barulah lap si manja dengan lebih rapi. Pakaikan pakaian dan sapukan losyen bagai seperti biasa.

12. Kemudian, basuh pakaian yang sudah terkena najis. Gunakan sabun basuh tangan yang ada dalam tandas. Cuci dan bersihkan bahagian najis itu sahaja. Usah dibasahkan kesemua pakaian. Nanti busuk pula pakaian, dibiarkan basah dalam plastik.

13. Sebelum kita keluar daripada lavatory itu, pastikan semua keadaan bersih sama seperti kita masuk tadi. Lampin dibuang di tempat sampah. Sekiranya lampin penuh dengan hasilan ‘super bacin’, boleh minta plastik daripada pramugara/pramugari untuk masukkan dulu lampin itu di dalam plastik, baru masukkan ke dalam tong sampah. Ini bagi mengelakkan bau semerbak terkepam dalam tandas. Pengsan! Terutama penerbangan kita berbelas-belas jam. Kesian kepada penumpang lain. Bahkan diri sendiri sekiranya kita sering ke tandas!

14. Lap sinki yang basah dengan tisu yang ada. Lap lantai juga sekiranya banjir dibuatnya (Walaupun tidak sengaja terbasah lantai).

15. Siap! Keluarlah dari lavatory dan beri peluang kepada penumpang lain. Pasti sudah ada barisan menunggu di luar! 

Selamat Mengembara Dengan Si Manja!





No comments:

Post a Comment