Thursday, November 13, 2014
Tip Melancong: Tarikh Mati Pasport - 6 Bulan
Mungkin ramai yang tidak tahu, tidak sedar, ataupun tidak ingat tarikh mati pasport antarabangsanya.
SITUASI 1:
Pernah berlaku insiden apabila syarikat tiba-tiba menghantar ke luar negara dan kamu terus mengemas dan berangkat. Apabila tiba di imigresen di lapangan terbang, baru terperasan yang tarikh luput adalah sebulan sahaja lagi!
Ini berlaku kepada seorang yang saya kenali apabila syarikat menghantarnya ke Singapura, negara jiran. Walaupun dekat, tetapi ia tetap lokasi antarabangsa, luar negara. Apabila tiba di check point di JB, mahu keluar dari Malaysia, dia baru menyedari yang pasport hanya mempunyai baki jangka hayat selama sebulan! Itu pun selepas diberitahu oleh pegawai imigresen yang bertugas. Namun, atas budi bicara pegawai itu, dia dibenarkan masuk kerana dia sudah ada return tiket ke Malaysia kerana hanya di Singapura selama 2 hari sahaja.
Apa agaknya yang berlaku di check point di bahagian Singapura pula?
Nasib malang, seperti yang dijangka dia ditahan lagi oleh pegawai imigresen Singapura. Puas dipujuknya bagi membenarkan masuk. Memang pegawai itu benar-benar mengikuti peraturan 6 bulan pasport itu. Akhirnya, selepas bernegosiasi dengan pegawai di sana, akhirnya dia dibenarkan masuk dengan amaran. Bukti tiket pergi balik juga adalah bukti yang membantu.
SITUASI 2:
Berlaku juga kepada individu yang saya kenali. Pasportnya masih hidup, dalam setahun lebih baru pasportnya mati. Dia dan keluarga kemudian merancang ke luar negara, mengambil kesempatan atas promosi tiket penerbangan yang murah yang perlu ditempah dan dibayar berbulan-bulan awalnya. Namun begitu, apabila mahu mendaftarkan biodata dan semua informasi yang diperlukan bagi mengesahkan pembelian tiket penerbangan itu, tiba-tiba keluar notis yang mengatakan, pada tempoh perjalanan ke luar negara itu, pasportnya hanya mempunyai had jangka hidup selama 4,5 bulan sahaja. Akibatnya, tiket itu tidak dapat ditempah dan dibeli. Seluruh keluarga terpaksa menunggunya memperbaharui pasportnya dahulu bagi meneruskan pembelian promosi itu. Jika dia memperbaharui pasportnya selepas tempoh promosi itu, maknanya tidak dapatlah dia membeli tiket dengan harga promosi. Sudah rugi!
Pasti ada banyak lagi insiden seperti ini berlaku. Mungkin ia juga pernah berlaku kepada kamu dan sesiapa yang kamu kenali.
Sama seperti insiden membawa kereta dengan lesen yang sudah mati. Alasan tidak tahu, tidak sedar atau tidak ingat, pasti tidak diterima oleh pegawai polis yang menahan kita ke tepi.
Kita perlu ambil tahu mengenai perincian ini. Terutama sekali apabila mahu merancang percutian keluarga. Walaupun kita merancang setahun awal, namun tarikh mati passport perlu 6 bulan SAH MASIH HIDUP pada ketika kita pergi bercuti, BUKAN pada masa kita menempah atau membeli tiket.
Perkara kecil ini besar impaknya!
Selamat bercuti! :D
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment